IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan terus melakukan lawatan mengejut untuk memantau kemudahan awam di negeri ini, termasuk tandas.

Walaupun mengakui terdapat tandas awam yang bersih, tetapi secara keseluruhannya, beliau kecewa dengan keadaan tandas-tandas awam yang terdapat di negeri ini, termasuk yang berbayar.

Beliau juga mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil serius tanggungjawab asas seperti sampah, jalan raya, rumput, longkang dan lampu jalan.

Dalam masa sama, pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap pihak yang sengaja membuang sampah merata-rata tempat, termasuk di tempat pembuangan sampah haram.

“Yang paling penting yang nak saya tekankan di sini ialah dari segi kerja yang kita lakukan untuk memastikan supaya kawasan-kawasan kemudahan awam, kawasan yang menjadi tumpuan aktiviti rakyat hendaklah diberi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini pada Rabu.

Dr Zambry yakin, jika semua pihak dapat menjalankan tanggungjawab secara bersama, segala masalah yang timbul itu akan dapat diatasi.

Menurut beliau, lazimnya, di kawasan-kawasan awam, selain daripada ia sudah lama, yang menjadi kerisauan ialah kerosakan yang disebabkan vandalism yang keterlaluan.

“Ada kawasan yang diletakkan simen, simen dipecah, tile yang dibuat dipecahkan, paip yang dipasang dicuri, hos air yang dipasang pun hilang,” ujarnya.

Beliau menambah, semua pihak mesti bertanggungjawab menjaga kebersihan tempat-tempat awam, bukan hanya mengharapkan kepada majlis daerah atau majlis bandaraya semata-mata.

Dr Zambry berpendapat, semangat itu perlu diterapkan sebagai habit dalam amalam kehidupan seharian masyarakat.

“Umpamanya, apabila kita melihat sampah di satu tempat, mungkin kita tolong ambil sama bagi memastikan supaya tanggungjawab untuk menjaga satu-satu kawasan itu terletak di bahu kita semua,” ujar beliau.

Pada Selasa, Dr Zambry melakukan lawatan mengejut ke medan selera Taman Kanak-Kanak di sini untuk melihat kemudahan awam serta kebesihan kawasan tumpuan warga bandaraya itu.

Sebelum ini, beliau mengejutkan Malaysia apabila turut bersama-sama pekerja am Majlis Bandaraya Ipoh mengutip sampah selama empat jam di beberapa lokasi di bandaraya itu.

Walaupun tumpuan mungkin lebih kepada bandaraya Ipoh tetapi Dr Zambry mahu memastikan seluruh negeri Perak sentiasa bersih dan hijau.