BANGKOK: Thailand mengisytiharkan perintah darurat, dengan menyekat aktiviti perhimpunan lebih daripada empat orang dan termasuk larangan memuat naik sebarang kenyataan di dalam talian yang berupaya mengancam keselamatan negara.

Langkah itu dilaksanakan Kerajaan Thailand, hari ini dalam usaha menangani gerakan tunjuk perasaan, diterajui golongan belia yang berterusan mendesak supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan dan reformasi sistem monarki.

Aktivis mahasiswa di Thailand menganjurkan pelbagai demonstrasi berskala besar sejak Julai lalu, dalam usaha menggulingkan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha yang mengambil alih kepemimpinan negara menerusi rampasan kuasa, enam tahun lalu.

Jurucakap kerajaan berkata, perintah darurat membolehkan pihak berkuasa merampas peranti komunikasi elektronik, data dan senjata yang disyaki menjadi pencetus kepada keadaan tidak menentu ketika ini.

Setakat ini, beliau berkata, belum ada pengesahan sama ada gerakan tunjuk perasaan yang sepatutnya berlangsung di beberapa persimpangan utama kota Bangkok hari ini akan diteruskan atau sebaliknya.

“Polis memberikan amaran kepada peserta demonstrasi kerana mereka tidak lagi dibenarkan untuk berhimpun dan jika gagal, tangkapan boleh dibuat,” katanya.

Ketegangan terus meruncing semalam apabila ribuan peserta demonstrasi berhimpun di perkarangan Monumen Demokrasi di Bangkok, sebelum ketibaan anggota pengiring yang membawa Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarganya.

Meskipun kawalan polis di kawasan terbabit diperketatkan, beberapa peserta demonstrasi dilihat berupaya membolosi zon penghadang dan berada di sepanjang laluan orang kenamaan berkenaan.

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, Perdana Menter mengarahkan polis mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan yang mengganggu konvoi diraja.

“Tindakan juga diambil terhadap mereka yang disifatkan ‘melakukan tindakan tidak sepatutnya terhadap raja’,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP