LANGKAWI : Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman audio perbualan telefon membabitkan Datuk Seri Najib Razak tidak ada beza dengan rampasan barang mewah bekas perdana menteri itu yang dipaparkan kepada umum sebelum ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, tidak penting sama ada beliau menyokong tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Sebaliknya jelas beliau, persoalan sama ada pendedahan itu boleh dibuat atau tidak kerana rampasan barang Najib turut pernah dilakukan dengan cara yang sama.

“Dahulu masa kita mula buat rampasan, kita tunjuk semua barang Najib dan tidak ada beza pun.

“Saya sokong atau tidak (SPRM) tidak penting. Ia boleh dibuat atau tidak.

“Dulu ada rampasan di Pavilion kita tunjuk kepada orang ramai dan tidak sembunyi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup dan penyampaian Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) Belt & Road di sini malam ini.

Beliau diminta mengulas pendedahan oleh SPRM itu yang kemudian dipertikaikan pelbagai pihak termasuk peguam dan pemimpin Pakatan Harapan yang menganggap tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh suruhanjaya yang berintergriti.

Pihak yang mempertikaikan pendedahan itu turut menggesa Latheefa Koya dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. – MalaysiaGazette