Tiada masalah untuk berkempen secara bersemuka di lapangan bagi mana-mana pilihan raya dengan syarat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan risiko penularan wabak covid-19, ujar Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya lagi, saranan untuk melaksanakan kempen pilihan raya menerusi platform maya seperti di media sosial atau media arus perdana sememangnya sudah pun dipraktikkan sebelum timbulnya pandemik tersebut.

“Kita tidak seharusnya membiarkan Covid-19 mengawal kita tetapi kita perlu atau mesti mengawal Covid-19.

“Malaysia memang begitu ketat dari sudut SOP berbanding dengan negara-negara lain, kita kuarantin 14 manakala negara lain kuarantin lima hari.

“Sebelum Covid-19 dulu pun memang kempen secara online, itu salah satu caranya untuk berkempen menerusi media sosial dan sebagainya.

“Saya yakin pada masa hadapan kempen melalui media sosial ianya akan berterusan, apa-pun tunggu keputusan SPR yang tentunya akan mengambil kira semua perkara terutama keselamatan rakyat selain mendapat nasihat dari KKM dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita di Majlis Pelancaran dan Perasmian Gopine Ladang Nanas MD2 terbesar di perak, di Gopeng pada Khamis.

Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran tidak membenarkan kempen di lapangan bagi mana-mana pilihan raya yang akan berlangsung ketika negara masih berdepan ancaman Covid-19.

Pensyarah kanan pengajian politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini perlu menjadi pengajaran kempen di lapangan menyebabkan peningkatan kes Covid-19.

Katanya kempen boleh dilaksanakan menggunakan pelbagai teknologi komunikasi sedia ada termasuk media sosial atau media arus perdana.