TANJUNG MALIM: Tidak ada istilah antara dua darjat dalam penguatkuasaan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Sebalikny, kerajaan perlu tegas dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menegaskan sesiapa sahaja yang melanggar SOP akan diadili dan diambil tindakan.

“Dalam isu ni tidak ada dua darjat, tidak ada orang atas terlepas, orang bawah kena, tidak ada orang-orang di atas tak kena tangkap, yang bawah kena gari, tak boleh macam tu.

“Dalam SOP ni, dalam usaha kita untuk menyekat penularan Covid-19 ni yang kita dah lalui dah lebih enam bulan dah sekarang ni, kita kena stick to the rules, SOP mesti diikuti, kita ingat mengingati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat tapak Klinik Desa di Felda Besout 4, Slim River, hari ini.

Menurutnya, kerajaan perlu konsisten dalam menguatkuasakan peraturan, seperti yang pernah berlaku padanya sendiri yang dihukum denda RM1,000 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada Selasa, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa Menteri Perusahaan, Perdagangan dan Komiditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali tidak melakukan kuarantin 14 hari selepas pulang daripada kunjungan ke Turki.

Ekoran itu, Dr Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dikritik banyak pihak kerana mengingkari arahan kuarantin seperti yang digesa oleh pihak berkuasa supaya melakukannya khususnya kepada mana-mana warganegara Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara.

Dalam pada itu, Noor Azmi berkata, tiada keperluan untuk mengadakan ujian saringan COVID-19 di seluruh negeri Kedah bagi mengesan penularan kes pandemik.

Sebaliknya, ujian swap bersasar di empat mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran (TEMCO) sudah memadai.

Menurutnya, pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bergerak pantas sekiranya dalam usaha mengatasi pendamik itu.

“Kalau kita tengok kita punya kes pengesanan kita buat dah lebih satu juta satu juta lebih dah, dan ada kajian menunjukkan kita buat test 33 orang per 1,000 kes dan kita mengesan kes positif 0.9 percent saja.

“Jadi bermakna kes di luar tak banyak sebenarnya, maknanya ujian yang kita buat tu dah mencukupi, tak perlu ujian swap dan di mana ada kes berlaku, KKM bergerak pantas ada standard yang perlu diikuti,” ujarnya.

Menurutnya, KKM tidak sewenang-wenangnya melakukan ujian saringan, sebaliknya menggunakan pendekatan yang turut digunakan beberapa negara lain seperti Korea Selatan dan Thailand.

Pada Khamis, Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar menyarakan agar ujian saringan lebih menyeluruh dilaksanakan di seluruh Kedah bagi mengesan penularan COVID-19 dengan lebih berkesan.

Menurutnya, langkah itu penting berikutan kebimbangan masyarakat terhadap pengesanan kes tidak bergejala.