MELAKA: Tiada seorang pun penerima anugerah Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sewenang-wenangnya diberi gelaran tanpa melalui proses saringan ketat serta mengikut prosedur sedia ada.

Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, proses standard itu dipraktikkan setiap tahun termasuk sepanjang lima tahun beliau menerajui kerajaan negeri sejak 2013 agar individu yang benar-benar layak dan berkredibiliti sahaja diberikan anugerah tersebut.

Beliau berkata, selain tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM), calon penerima yang dicadang­kan menerima apa-apa darjah kebesaran termasuk Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) dan Darjah Cemerlang Seri Me­laka (DCSM) perlu melalui sa­ringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, katanya, calon pe­nerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM), Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) dan anugerah-anugerah lain berdepan sari­ngan serta tapisan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Dalam konteks Melaka, penerima tidak boleh berusia kurang 40 tahun dan seseorang individu juga tidak boleh me­nerima apa-apa anugerah dalam tempoh tiga tahun selepas pemakaian kali pertama.

“Lazimnya, penerima dan pemakai anugerah itu adalah mereka yang berjasa kepada negara dan negeri. Saya pernah mengajukan soalan kepada bakal penerima bagaimana jika mereka pakai anugerah itu tetapi tiada jasa pun kepada negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Akhbar ini me­laporkan, pemberian lebih 250 anugerah yang membawa gelaran Datuk Seri, Datuk Wira dan Datuk sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka, baru-baru ini disifatkan tidak masuk akal kerana timbul persoalan sejauh mana pengiktirafan itu dinilai.

Sementara itu, Idris berkata, isu bilangan penerima tidak dinafikan memang menjadi perhatian sejak anugerah itu diperkenalkan, namun ujar­nya, ia tertakluk kepada kriteria dipenuhi calon selain kuantiti­nya ditetapkan Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT).

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, beberapa calon juga pernah ditolak oleh majlis penilaian selepas mendapat surat tawaran menerima anugerah berikutan tidak melepasi sari­ngan tersebut.

Berhubung kononnya ada ‘bayaran-bayaran’ tertentu dikenakan untuk penerima mendapat gelaran darjah kebesaran, Idris menafikan sekeras-kerasnya dan menyifatkan terdapat salah faham antara perkara itu dengan sumbangan kepada yayasan atau apa-apa tabung kebajikan. – UTUSAN ONLINE