Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH:Jabatan Kesihatan Negeri Perak hari ini mengesahkan tiada sebarang laporan kes jangkitan rabies di kalangan manusia di seluruh negeri buat masa ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Hassan Merican Omar Naina Merican berkata sehingga Jun lepas sebanyak tiga kes gigitan anjing dilaporkan secara keseluruhannya namun tidak membabitkan jangkitan rabies.

Menurut Dr Hassan, sumber daripada Pusat Respons dan Kesiapsagaaan Krisis (CPRC) merekodkan sebanyak 166 kes gigitan anjing dilaporkan pada tahun 2016 dan sebanyak 295 kes dilaporkan pada tahun 2015.

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak memviralkan sebarang isu jangkitan rabies tanpa mendapatkan pengesahan dan kepastian daripada pihak berwajib.

“Saya mohon orang ramai agar jangan bertindak melulu dan membuatkan isu sebegini tular dan menimbulkan kerisauan orang ramai, periksa dahulu kepada pihak berwajib.

“Daripada kami di Jabatan Kesihatan,tiada sebarang laporan diterima setakat ini daripada mana-mana daerah seluruh negeri,”katanya lagi.

Sebelum ini, sebuah laporan di laman sosial yang menunjukkan seorang lelaki yang diserang anjing liar di Tanjung Malim pada dua hari lepas tular di Facebook.

Isu tersebut menjadi kebimbangan orang susulan kes jangkitan Rabies yang kini berlaku di Sarawak.

Kes anjing liar di Tanjung Malim bukannya perkara biasa malah telah berlarutan sejak beberapa tahun lepas dan terus menghantui pelbagai pihak khususnya masyarakat setempat.