IPOH: Belum ada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperkekatkan (PKPD) di Pusat Tahanan Koreksional (KEMTA) Kamunting memandangkan keadaan penularan Covid-19 adalah terkawal.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak kali ke-6 hari ini.

Katanya, Jawatankuasa mendapati penularan jangkitan COVID-19 hanya membabitkan satu blok yang dikhaskan kepada tahanan yang berisiko sahaja.

“Sebagai langkah kawalan risiko jangkitan kepada pegawai, anggota dan keluarga mereka, pihak pengurusan KEMTA juga telah memperketatkan prosedur penugasan anggota di KEMTA.

“Bilangan anggota yang dikhususkan untuk bertugas di blok ini juga telah dihadkan dan mereka diwajibkan memakai Peralatan Pelindung Peribadi (PPE) semasa bertugas.

“Usaha bagi memutuskan rantaian penularan di dalam kawasan KEMTA sedang giat dilaksanakan oleh pihak pengurusan KEMTA dengan kerjasama pihak Hospital Taiping dan Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu katanya, pihak pengurusan KEMTA juga memastikan tiada sebarang kontak di antara anggota bertugas dengan tahanan.

“Pergerakan keluar masuk tahanan juga telah dihentikan bagi mengelakkan penularan baharu.

“Setakat hari ini tiada penambahan kes positif baharu dalam Kluster Batu.

“Justeru, rakyat khususnya penduduk di kawasan sekitar Kamunting dan Taiping dinasihatkan supaya tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih,”katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri menyeru orang ramai untuk terus mengamalkan disiplin norma baharu bagi mengekang penularan COVID-19 di kalangan komuniti.