IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) menegaskan bahawa sehingga ini, tiada sebarang kes COVID-19 dikaitkan dengan pengunjung Pasar Borong Ipoh, di sini.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan sedemikian.

Menurutnya, PKD Kinta juga telah menjalankan siasatan terhadap mesej tular dalam media sosial mengenai perkara tersebut.

“JKNP ingin menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri dari mempercayai dan menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kerisauan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut menyeru agar orang ramai lebih prihatin dan hanya mendapatkan maklumat sahih dari KKM dari semasa ke semasa.
Sejak semalam, tular di media sosial mengenai arahan Kementerian Kesihatan mengenai gesaan kepada orang awam yang telah ke Pasar Borong Ipoh pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu untuk hadir ke Klinik Kesihatan dan hospital bagi membuat saringan COVID-19.