PUTRAJAYA : Tindakan penguakuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar larangan merokok di premis makanan akan bermula pada 1 Januari tahun hadapan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tempoh lanjutan selama enam bulan sudah cukup untuk mendidik rakyat mematuhi larangan itu.

Katanya, beliau menerima banyak aduan perokok sudah tidak menghiraukan larangan tersebut.

 

“Saya beri jaminan, tiada lagi lanjutan akan diberikan. Tindakan penguatkuasaan undang-undang bermula 1 Januari 2020,” katanya melalui akaun Twitter Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurut Dzulkefly, sejak larangan dikuakuasakan 1 Januari lalu, lebih 129,000 premis telah diperiksa dan 30,698 notis amaran telah dikeluarkan.

Kementerian Kesihatan pada April lalu memutuskan melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok selama enam bulan sehingga Disember tahun ini.

Tempoh enam bulan bagi penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di kedai makan dan restoran sebelum ini ditetapkan berakhir Julai lalu selepas pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula pada 1 Januari 2019.

Dzulkefly sebelum ini dilaporkan berkata, pelanjutan dibuat bagi membolehkan kerajaan meningkatkan usaha membantu orang ramai berhenti merokok kerana memahami kesukaran mereka berbuat demikian.

Beliau dilaporkan berkata, ia juga bertujuan memberi pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya kesan merokok serta kawasan yang terbabit dengan larangan berkenaan.

Kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan pada Disember tahun lalu menyatakan, bermula 1 Januari 2019, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak, adalah diwartakan sebagai `Tempat Dilarang Merokok.’

Pindaan pewartaan tempat makan itu jelas kenyataan tersebut, dibuat di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

Kenyataan itu turut menyebut, di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Manakala di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.