BATU GAJAH: Selain taman tema dan hotel Sunway Lost World di Tambun, tiada lagi premis pelancongan di Perak yang ditutup walaupun berlaku peningkatan kes positif COVID-19 di beberapa daerah di negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, penutukan sementara kedua-dua premis itu juga bukan arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi atas inisiatif syarikat demi keselamatan pengunjung.

Menurutnya, walaupun akur dengan keadaan COVID-19 yang masih tinggi, kerajaan negeri tetap meneruskan aktiviti pelancongan domestik dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Disebabkan keadaan masih lagi terkawal, kerajaan negeri masih meneruskan aktiviti-aktiviti pelancongan yang mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Insya Allah kerajaan negeri juga akan memainkan peranan untuk memastikan semua SOP itu dapat dilaksanakan dan dapat dipatuhi dengan sebaik mungkin, bukan saja oleh operator tetapi juga daripada pelawat-pelawat yang datang ke negeri kita,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Geotourism Vouchers #Travel Peraklah & Dark Tourism di Kellie’s Castle, di sini, malam ini.

Pada Selasa, pihak pengurusan taman tema dan hotel Sunway Lost World mengumumkan penutupan sementara kedua-dua premis pelancongan itu kerana salah seorang pengunjung disyaki positif COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penutupan itu selama 14 hari, bermula dari 13 Oktober hingga 26 Oktober 2020 bagi kerja-kerja pembersihan di sekitar taman tema dan hotel berkenaan.

Nolee berkata, kerajaan negeri Perak akan terus mempelbagaikan lagi produk-produk pelancongan bagi memulihkan sektor itu yang teruk terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sempena sambutan ulangtahun kedua Geopark Lembah Kinta, kerajaan negeri melancarkan Geotourism Vouchers # Travel Peraklah bagi membantu agensi-agensi pelancongan di Perak yang terkesan dengan COVID-19.

Katanya, fasa kedua baucer pelancongan itu menawarkan 1,050 baucer yang bernilai RM150 setiap satu yang boleh didapati di semua agensi pelancongan berdaftar dan terpilih dengan syarat minima pembelian pakej bernilai RM299 seorang atau pakej 3 hari 2 malam di negeri Perak.

Sementara itu, Nolee berkata, Kellie’s Castle telah dipilih sebagai salah satu produk Dark Tourism oleh Tourism Malaysia yang diperkenalkan Tourism Malaysia bersempena Program Dream To Travel PATA pada 1 Julai 2020 yang lalu.

Pengurus Kellie’s Castle, Zamari Muhyi pula berkata, program Dark Tourism @ Kellie’s Castle diadakan setiap malam Jumaat dan Sabtu sepanjang bulan Oktober dari jam 8 hingga 12 malam.

Menurutnya, tiket masuk RM10 dikenakan kepada warganegara Malaysia manakala RM20 untuk pelawat asing.