BAGAN SERAI: Tiada laporan polis diterima setakat ini berhubung dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad berlaku sogokan wang kepada pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, jika ada laporan, polis akan melakukan siasatan.

“Sekiranya ia mempunyai unsur rasuah, kita akan mohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk masuk campur. 

“Buat masa ini memang tiada laporan mengenai dakwaan itu dan saya dimaklumkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak menerima apa-apa laporan berkaitan perkara  itu.

“Setakat ini hanya lima laporan polis dibuat berkaitan PRK Slim dan satu sahaja kertas siasatan dibuka iaitu berkaitan menconteng gambar calon Barisan Nasional (BN),” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kerian di antara Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dan Superintendan Mazuki Mat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini. 

Mazuki, 58, sebelum ini Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh kini menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Kerian, menggantikan Omar Bakhtiar, 56, yang kini Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar.

Semalam, Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr. Mahathir  mendakwa berlaku sogokan wang pada PRK DUN Slim yang menyebabkan calon yang disokong partinya hanya memperoleh lebih 2,000 undi berbanding jangkaan 4,000 undi. – UTUSAN