KUALA LUMPUR : Tiada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin ini, kata Yang Dipertua, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata, Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) kerana tidak disusuli Pemberitahuan Usul yang lengkap.

“Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat sudah menerima Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju supaya Dewan Rakyat dipanggil bermesyuarat pada Isnin, 2 Mac 2020.

“Namun, saya mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 11 (3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Setakat ini, tiada notis dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Ariff berkata, keperluan untuk mengadakan mesyuarat itu akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung proses pemilihan Perdana Menteri.

“Saya akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan mengenai notis serta tarikh Mesyuarat Khas akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan berkata sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada Isnin ini untuk memilih Perdana Menteri yang baharu.

Dr Mahathir berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

“Dan kerana tiada yang ada majoriti jelas, (Tuanku) kata ruang yang sesuai adalah Dewan Rakyat.

“Maka, Parlimen akan bersidang pada 2 Mac…. siapa yang ada sokongan majoriti di Parlimen akan menjadi Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya.