KUALA KANGSAR – Kerajaan negeri beri jaminan akan memastikan tiada pelajar tercicir dalam menguasai enam kemahiran dalam Aspirasi Murid.

Exco Kerajaan Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, aspirasi tersebut adalah Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Memimpin, Kemahiran Dwibahasa, Etika dan Kerohanian serta Identiti Nasional sebagai rakyat negara ini.

“Tanpa mengira jantina, etnik atau status sosioekonomi, kita perlu bekerja bersama-sama untuk mencapai visi yang dihasratkan dalam Aspirasi Murid.

“Apa yang lebih meyakinkan ialah kerajaan negeri sedang berusaha untuk memastikan tiada seorang pun daripada anak-anak kita ketinggalan dan kita juga memberikan tumpuan kepada kumpulan khusus dalam masyarakat seperti murid Orang Asli dan Pribumi, murid berisiko dan murid berkeperluan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Profesionalisme Pendidikan Pengurusan Tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Perak 2018 bersama 1,102 pemimpin sekolah di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Aziz berkata, semua pengetua dan guru besar perlu berupaya menawarkan kepimpinan dan pengurusan berkualiti dalam mengurus pembelajaran di sekolah.

Katanya, pencapaian kualiti tersebut memerlukan perubahan seiring dengan perubahan semasa dan perkembangan teknologi.

“Dalam konteks perubahan yang wujud dalam masyarakat hari ini, profesionalisme pendidikan perlu menekankan tentang pentingnya penyesuaian dibuat sebagai respon kepada perubahan yang berlaku.

“Selain itu, ia perlu mempunyai keupayaan untuk melakukan perubahan sosial yang membina dengan mengenal pasti kelemahan dan seterusnya mengambil pendekatan strategik untuk menangani sebarang isu dan permasalahan,” katanya – sinar