ALOR SETAR : Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan kerajaan negeri berada dalam keadaan cemas.

Menegaskan beliau masih mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi memimpin Kedah, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, ia dapat dibuktikan apabila beliau mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pagi tadi.

Katanya, mesyuarat itu dihadiri semua EXCO bagi meneruskan perancangan negeri, manakala seramai 20 ADUN gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU di Kedah juga masih bersamanya.

EXCO Kedah dibarisi wakil daripada BERSATU, Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP dan PKR.

Difahamkan, mesyuarat pagi tadi dihadiri semua EXCO, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Luar Bandar, Datuk Dr Ismail Salleh (AMANAH); Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Tan Kok Yew (DAP); Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Datuk Zamri Yusuf (PKR); Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Azman Nasrudin (PKR).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Mohd Asmirul Anuar Aris (AMANAH); Pengerusi Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Ooi Tze Min (PKR); Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dr Salmee Said (AMANAH); Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, R Summugam (PKR); Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Halimaton Shaadiah Saad (BERSATU) dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Mohd Firdaus Ahmad (BERSATU).

“Tiada perubahan kepada kerajaan negeri setakat ini. Saya menafikan bahawa kita dalam keadaan getir kerana kita masih ada majoriti tiga ADUN menyokong. Keadaan belum mencemaskan dan tak perlu paksa mana-mana ADUN tandatangan akuan bersumpah (SD).

“Kita tidak perlu paksa mana-mana pihak tandatangan SD kerana ia tidak laku di peringkat nasional. Ada yang tandatangan kemudian lompat dua kali,” kata Mukhriz pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Menteri Besar menjelaskan, ketika kemuncak kemelut politik negara minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong memilih bertemu Ahli Parlimen berbanding melihat SD.

“Bagi pihak kami, tiada keperluan tandatangan SD, tetapi bagi pihak sana (ADUN PAS dan UMNO) saya tidak pasti. Saya dimaklumkan sudah ada tandatangan SD tetapi tak tahu siapa.

“Bagaimanapun, jika ada yang sudah tandatangan SD dan mahu berpatah balik, kami akan terima,” katanya turut menegaskan, ketika ini hanya beliau Menteri Besar BERSATU yang masih memegang jawatan, selepas kerajaan negeri di Johor dan Perak berubah.

“Ketika ini saya adalah satu-satunya Menteri Besar daripada BERSATU. Jika ini juga hendak diubah, maka tinggal Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sahaja yang BERSATU.

“Sebaik-baiknya kita hendak teruskan hubungan yang baik di antara Pusat dan kerajaan negeri. Saya jangka Jemaah Menteri baharu yang bakal dilantik dapat terus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Mesyuarat hari ini menjadi tumpuan kerana ketika ini hanya Kedah masih ditadbir Menteri Besar dari BERSATU dengan disokong oleh ADUN PH walaupun BERSATU sudah mengumumkan keluar dari PH di peringkat pusat.

Bagi Perak, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, semalam dititah menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, namun tidak dapat disahkan tujuan perjumpaan itu.

Ahmad Faizal sebelum ini membayangkan Perak bakal mempunyai kerajaan negeri baharu berikutan perubahan di peringkat Persekutuan.

Perak memiliki 59 kerusi DUN dengan PH sebelum ini memiliki majoriti 31 kerusi termasuk Bebas untuk mentadbir negeri, manakala BN memiliki 25 kerusi dan PAS tiga kerusi.

Pemerhati politik menjangkakan ADUN BERSATU akan membentuk gabungan dengan BN dan PAS serta Bebas yang kemudian akan memiliki majoriti 31 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri Perak yang baharu.