IPOH: Tiada peruntukan khas atau tambahan bagi tujuan membiayai Program Permukiman Menteri Besar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, segala kos yang terlibat adalah di bawah peruntukan tahunan sedia ada yang telah disalurkan kepada agensi dan jabatan, sama ada di peringkat negeri mahu Persekutuan.

Menurut beliau, dari semasa ke semasa program itu telah ditambah baik supaya ia benar-benar berkesan dan di antara penambahbaikkan yang dilakukan termasuklah melanjutkan tempoh program kepada lima hari.

“Menambahkan bilangan aktiviti dan acara bersama rakyat melibatkan semua anggota Exco kerajaan negeri serta jabatan dan agensi sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan supaya ia benar- benar memberikan impak yang dihasratkan,” katanya semasa menjawab soalan lisan S. Kesavan (PKR-Hutan Melintang) pada sidang Dewan Negeri pada Isnin.

Dr Zambry menjelaskan, Program Permukiman Menteri Besar terbukti memberikan impak yang baik kepada kesejahteran rakyat dan pembangunan negeri.

Katanya, setakat Mac 2013, Program Permukiman telah diadakan di enam buah daerah iaitu di Hulu Perak, Kerian, Larut Matang dan Selama, kawasan Parlimen Larut, Kawasan Parlimen Bukit Gantang dan Taiping, Bagan Datok dan Perak Tengah.

Beliau memberitahu, bagi setiap bilangan program bagi setiap daerah sekurang-kurangnya ada 100 program dianjurkan.

“Kerajaan negeri bercadang untuk meneruskan program ini kelima lagi daerah termasuklah Hilir Perak yang akan berlangsung pada 18 hingga 22 April ini, Kuala Kangsar, Muallim, Batang Padang dan Manjung,” ujarnya.