KUALA LUMPUR – Tiada peruntukkan undang-undang yang membenarkan kerajaan mengeluarkan ‘sijil tidak halal’ atau ‘sijil haram’ bagi produk mahupun barangan yang haram digunakan oleh umat Islam di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kawalan pensijilan, logo dan tanda halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 memperakukan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sebagai pihak berkuasa dalam memberikan pengesahan halal.

“Ini bermakna Jakim dan MAIN atau JAIN hanya mengeluarkan sijil pengesahan halal sahaja dan diberikan kepada pihak berkelayakan yang memohon secara sukarela.

“Dalam hal ini, pengguna perlu peka dan bijak memilih barang-barang keperluan mengikut garis panduannya,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Tuan Ahmad Baihaki Atiqullah yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan tidak bercadang mengeluarkan sijil atau cap tidak halal ke atas barangan yang diharamkan kepada umat Islam bagi memudahkan pengecamannya oleh pengguna. – K! ONLINE