IPOH: Pemandu teksi tiada pilihan lain, kecuali menerima perubahan semasa, sekiranya ingin meneruskan karier di dalam sektor pengangkutan awam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, mereka tidak boleh terus dengan cara konvensional kerana ia tidak lagi relevan.

Menurut beliau, mereka perlu mengikuti perkembangan semasa untuk bersaing dengan pemandu yang E-hailing yang lain.

“Selama ini mereka menjalankan operasi secara konvensional yang sekarang ini sudah tidak sesuai langsung dengan keadaan semasa yang akhirnya memberi kesan negatif kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Jom Naik Teksi @ Teksiku di Mydin Mall Meru Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MySuri Biz Technologies Sdn Bhd (MySuri) Mohd Noor Ghazali; Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan; Pengarah Perkeso Perak, Anthony Arul Dass dan Pengerusi Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Negeri Perak, B. Jayaprakash.

Teksiku adalah aplikasi E-hailing untuk teksi dan kereta sewa yang telah dimajukan dan dikendalikan oleh MySuri.

Shahril berkata, usaha yang dilakukan oleh MySuri adalah antara langkah untuk membantu pemandu teksi yang sedang hadapi kesukaran sekarang.

Sehubungan itu beliau menyeru pemandu teksi dan kereta sewa yang masih belum berdaftar dengan Teksiku supaya berbuat demikian.

Menurutnya, daripada kira-kira 1,600 pemandu teksi dan kereta sewa yang terdapat di seluruh Perak, hanya 200 sahaja yang telah berbuat demikian.

Katanya, kerajaan negeri melalui Digital Perak bersedia untuk membantu memberi latihan asas sekiranya mereka menghadapi masalah dalam pendigitalan.

“Kerajaan negeri amat alu-alukan usaha seperti ini dan kita akan bantu, malah akan kaji kesesuaian untuk melantik mereka sebagai duta pelancongan,” ujarnya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Shahril menyeru pemandu teksi dan kereta sewa merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan termasuk mendaftar dengan Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.