IPOH : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, beliau menyertai Parti Bersatu Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara sukarela.

Menurutnya, beliau menghantar borang permohonan untuk menyertai parti itu hampir dua minggu lalu.

“Sukarela, tiada paksaan, tiada pujukan. Ini pilihan saya, saya rasa inilah parti yang terbaik untuk saya sertai dan meneruskan perjuangan,” katanya.

Beliau ditemui selepas sidang Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai pembentukan kerajaan baharu di sini, hari ini.

Yunus sebelum ini merupakan Ketua Cabang PKR Parit Buntar dan pernah menjadi Setiausaha PKR Perak.

Menurutnya, sebelum mengambil keputusan menyertai PKR, beliau pernah berbincang dengan beberapa orang mengenai hasratnya itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai bayaran RM10 juta yang dikatakan perlu dibayar ekoran perjanjian antara semua ADUN dan Ahli Parlimen PKR ketika mereka dipilih sebagai calon mewakili parti berkenaan dalam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.