PENGKALAN HULU – Selepas 24 jam operasi dijalankan, bomba hari ini tidak menemui peserta menangkap itik yang dikatakan lemas pada Pesta Tasek Takong, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Penguasa Kanan Bomba I Mohamad Yunus Abu berkata, air tasik berjaya disurutkan sehingga paras 0.3 meter dari kedalaman awal hampir 3 meter dalam usaha mencari mangsa.

“Pencarian secara ‘surface water rescue’ dilakukan dari semalam sehingga hari ini namun, tiada mangsa dijumpai seperti yang dilaporkan oleh orang awam di tempat kejadian.

“Operasi pencarian mangsa ditamatkan pada jam 12.05 tengah hari membabitkan pasukan bomba bersama agensi dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Daerah Pengkalan Hulu dan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Raduan Mohamad mengesahkan tiada mangsa lemas ditemui.

“Kita juga tidak menerima sebarang laporan kehilangan mangsa dalam kejadian itu,” katanya – sinar