IPOH: Solat Jumaat tidak perlu diadakan pada 3 dan 10 April ini di negeri Perak bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, ia termasuk solat fardhu secara berjemaah di semua masjid dan surau di negeri ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri Malaysia yang mengumumkan lanjutan tempoh kawalan pergerakan sehingga 14 April 2020.

“Serta berpandukan ketetapan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak bertarikh 25 Mac 2020, berkaitan mendirikan solat Jumaat dan solat fardhu secara berjemaah di masjid-masjid, surau diri Jumaat dan surau-surau.

“Dimaklumkan ketetapan berikut wajiblah dipatuhi oleh semua masjid dan surau di negeri Perak sehingga solat Isyak 14 April 2020,” katanya.

Ujarnya lagi, solat Jumaat itu wajib diganti dengan menunaikan solat Zuhur di rumah masing-masing.

Katanya, perkara itu penting supaya rantaian penularan Covid-19 dapat dihentikan sepanjang tempoh PKP sehingga 14 April depan.

“Semua Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Negeri Perak hendaklah melaksanakan arahan yang ditetapkan sehingga 14 April 2020,” katanya.