IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijangka bersidang Selasa depan akan menolak sebarang usul tergempar yang dikemukakan oleh ahli-ahli Dewan.


Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid menegaskan sebarang usul mestilah dikemukakan selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh persidangan.


“Saya punya pandangan ialah apa-apa juga usul yang hendak disampaikan, tergempar atau tidak tergempar mestilah mengikut peraturan Perintah-Perintah Tetap yang ada dan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri.


“Saya tertakluk kepada perkara itu.
“Kita belum (tidak) menerima sebarang usul lagi, sehingga 13 Oktober kita tidak menerima apa-apa (usul).


“Saya pun dah berjumpa dengan Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari dua hari sudah, setakat ini tiada apa-apa yang disampaikan kepada pejabat Speaker,” katanya.


Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media bersempena Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri yang Keempat Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Jumaat.


Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri, Khalil Yahaya dan Setiausaha Dewan Negeri, Muhammad Nazri Abdullah.


Mohammad Zahir berkata, sidang DUN itu berlangsung selama satu hari bermula jam 10 pagi dan dijangka berakhir selewat-lewatnya 7 malam.


Pada sidang DUN itu nanti, Mohd Zaidi Aziz akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim yang baharu.


Berdasarkan senario semasa, langkah berjaga-jaga sepenuhnya perlu diambl bagi mengelakkan sebarang risiko penularan COVID-19.


Katanya lagi, antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan ialah semua pihak yang berada dalam Dewan Negeri termasuk petugas media wajib menjalani ujian saringan COVID-19.


“Pemakaian pelitup muka diwajibkan sepanjang persidangan ini berlangsung, kita juga telah menetapkan penjarakan fizikal bagi kedudukan di dalam Dewan.


“Hanya media rasmi yang mempunyai pas bergambar sahaja dibenarkan masuk memasuki Dewan.


“Kita sediakan akses live streaming sepanjang persidangan dan orang ramai boleh melayarinya menerusi saluran Youtube,” katanya.


Jelasnya, pautan laman web berkaitan live streaming itu akan dipaparkan melalui portal dan Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.