PETALING JAYA : Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau akan hanya menimbangkan kemungkinan untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jika beliau bersetuju untuk tidak bekerjasama dengan ahli Umno yang korup.

Mahathir mengesahkan menerima surat Muhyiddin untuk bertemu selepas 2 pemimpin tersebut berselisih berikutan tindakan presiden PPBM itu membentuk kerajaan baru dengan Umno, PAS dan beberapa pihak lain.

“Tidak ada sebab untuk saya berjumpanya, melainkan beliau bersedia membuang semua orang itu. Selepas itu kita boleh jumpa. Itu pun saya akan fikirkan dulu,” kata Mahathir selepas satu pertemuan dengan ahli PPBM di Langkawi.

Beliau berkata, sukar baginya untuk berdamai dengan Muhyiddin jika perdana menteri itu masih bekerjasama dengan orang yang didakwa mencuri berbilion ringgit wang kerajaan.

“Jika ahli Umno mahu menyertai PPBM, saya bersedia menerima mereka dengan syarat mereka tinggalkan Umno,” katanya dengan berkata, Muhyiddin sebaliknya bersedia bekerjasama dengan Umno secara en bloc.

“Saya tak boleh terima itu,” katanya. “Saya jelaskan kepadanya sebelum ini, saya beritahu pendirian saya. Saya tidak berubah. Saya berjanji tidak akan bekerjasama (dengan Umno).

Mahathir ditanya pemberita di Langkawi berhubung kenyataan anggota Majlis Tertinggi PPBM Wan Saiful Wan Jan bahawa Muhyiddin menulis surat untuk bertemu dengan Mahathir.

Wan Saiful berkata, majoriti ahli PPBM mahu pemimpin parti itu bersatu semula selepas ia keluar Pakatan Harapan (PH) yang berkesudahan dengan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

Muhyiddin mewujudkan satu gabungan politik baru dengan Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.