TANJUNG MALIM: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak menawarkan banyak jawatan dalam struktur organisasi parti itu berbanding parti-parti lain sedia ada.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, struktur organisasi Pejuang disifatkan sebagai rata tanpa terlalu banyak hierarki jawatan.

“Bezanya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ia agak rata tidak terlampau banyak hierarki. Kita ada pengerusi dan presiden kemudian timbalan presiden tapi tiada naib-naib presiden.

“Kemudian terus kepada ‘ex officio’ seperti setiausaha agung, ketua penerangan, bendahari dan selepas itu Majlis Eksekutif Tertinggi,” katanya pada sidang media selepas program Walkabout Culaan dan Ziarah di Felda Gunung Besout 1 di sini hari ini.

Menurutnya, struktur organisasi Pejuang masih menunggu kelulusan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Masa berdaftar Bersatu dahulu, Menteri (Kementerian Dalam Negeri) ketika itu, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi memberi jaminan 30 hari.

“Jadi kali ini kita harap Datuk Seri Hamzah Zainuddin dapat beri jaminan 30 hari jugalah,” katanya.

Pada masa sama, Mukhriz berkata, pihaknya yakin mempunyai peluang cerah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sekiranya dapat menawan pengundi atas pagar.

“Kita rasa yang atas pagar (pengundi) kali ini ramai sebab sudah terbelah dua (Bersatu), jadi nampaknya siapa yang dapat menawan hati atas pagar ini, dialah yang akan menang.

“Berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, peluang kita kali ini lebih cerah sebenarnya. Dengan sokongan dan kerjasama daripada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, ini yang akan menjamin sokongan undi,” katanya
-Sinar