MANJUNG – Seorang penagih dadah mempersiakan peluang yang diberikan selepas dia bersama keluarganya merayu untuk berubah ketika ditahan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) lima bulan lalu.

Bagaimanapun, lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori berusia 23 tahun itu masih tidak berubah dan positif dadah jenis methamphetamine ketika ditahan di Pejabat AADK Manjung jam 2 petang kelmarin.

Ketua Pegawai AADK Manjung, Sharuddin Abdul Salam berkata, pihaknya cuba memberi peluang kepada lelaki berkenaan selepas dia berjanji untuk berubah dan membuang tabiat buruknya itu.

“Keluarganya juga turut sama merayu agar suspek diberikan peluang dan kita memberi dia masa tiga bulan untuk berubah sebelum dipanggil semula bagi memastikan dia bebas daripada dadah.

“Bagaimanapun, ujian air kencing yang dijalankan kelmarin di pejabat AADK mendapati dia positif dadah dan kini ditahan mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya kepada pemberita.

Menurut Shahruddin lagi, lelaki berkenaan yang belum berkahwin sudah terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak tujuh tahun lalu dan keluarganya sudah dimaklumkan mengenai penahanannya.

“Keluarganya mengatakan bahawa mereka redha demi kebaikkan suspek selepas dia gagal mengotakan janjinya untuk berubah dan mengawal diri daripada mengambil dadah.

“Saya juga ingin menyeru kepada keluarga yang mempunyai anak terbabit dalam aktiviti tidak sihat ini agar segera melaporkan kepada AADK demi masa hadapan mereka untuk menjalani rawatan dipusat pemulihan,” katanya – sinar