PUTRAJAYA : Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin memberitahu beliau tidak pernah terlintas untuk menyertai parti lain ketika ini.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, perkara itu tidak timbul selepas beliau terpalit dengan isu surat permohonan palsu untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tegas Ahli Parlimen Ampang itu, beliau tidak perlu melayan isu itu yang dianggap remeh dan membuang masanya.

“Itu tidak terlintas kerana bila berada di landasan benar tidak jadi masalah di mana kita berada.

“Surat itu tidak benar kerana tiada permohonan. Ini benda biasa dalam politik dan remehlah.

“Buat apa hendak ambil tindakan selagi kita tahu siapa kita dan tidak mengganggu saya pun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bil.1/2020 dan Pelancaran Laporan Pencapaian KPKT 2019 Serta Visi dan Misi Baharu KPKT di kementeriannya di sini hari ini

Beliau diminta mengulas sama ada akan menyertai parti politik lain selepas tular surat permohonannya untuk menyertai Bersatu semalam.

Ditanya sama ada dalang atau cuba untuk melaga-laga beliau dalam PKR,  Zuraida berkata, dia hanya ingin fokus untuk membina negara.

“Itu perkara remeh dan saya tidak mahu buang masa. Fokus kerja-kerja membina negara.

“Benda remeh tak payahlah. Polis banyak kerja lain lagi hendak buat.

“Pemimpin kena berjiwa besar dan perkara kenit tak payah dan biasalah dalam politik.

“Kita harus bertahan bila tahu di pihak benar,” katanya. – MalaysiaGazette