IPOH: Seorang wanita dan dua anaknya yang ditahan kerana disyaki mendera pembantu rumah mereka di Taman Desa Pantai 2, Pantai Remis dekat Manjung pada Sabtu lepas, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Dalam kenyataan hari ini, Timbalan ketua Polis Daerah Manjung DSP Chong Boo Khim berkata jaminan polis diberi sementara menunggu laporan penuh perubatan mangsa selain menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu.

Mangsa, seorang wanita warga Indonesia berusia 31 tahun, dilaporkan mengalami kecederaan ringan dipercayai akibat didera majikannya yang berusia 52 tahun serta dua anak, masing-masing berumur 23 dan 17 tahun.

Ketiga-tiga suspek ditahan selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menyelamatkan mangsa pada 8.45 malam, 1 Ogos lepas.

– BERNAMA