KUALA KANGSAR: Jurutera Majlis Perbandaran Manjung, isteri dan anaknya maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 74, Jalan Ipoh- Gerik, berhampiran Kampung Kuak, Sauk dekat sini malam tadi.

Mangsa dikenali Abdul Hakim Hashim, 32, isterinya Penolong Jurutera Pertanian, Nurul Huda Arifin, 31 dan anak mereka,
Adib Aidan Abdul Hakim, 2.

Seorang lagi Ammar Aiman, 4 dan pemandu pacuan empat roda, berusia 33, hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 malam itu, Nurul Huda meninggal dunia di tempat kejadian manakala Abdul Hakim dan Adib Aidan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Gerik.

“Ketika tiba di tempat kejadian, datang pacuan empat roda dari arah bertentangan dipercayai telah hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta lalu menyebabkan pertembungan berlaku.

“Akibat pertembungan tersebut kereta mangsa terpusing dan memasuki parit di bahu kiri jalan, mengakibatkan mangsa tersepit di dalam kereta,” katanya di sini hari ini.

Katanya, Abdul Hakim disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar kira-kira jam 12.15 pagi manakala Adib Aidan lima minit kemudian.

Menurut Razali, polis menahan pemandu pacuan empat roda untuk siasatan lanjut, termasuk ujian air kencing dan sampel darah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.