REMBAU: Tiga saudara parah apabila kereta yang mereka naiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 224.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, berhampiran Pedas Linggi, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Zulkifly Ahmad, 37, memandu Proton Wira ditemani Khairiah Abdullah, 47, dan anak saudara Nurjannah Noraslan, 9, dari Perak menuju ke Melaka.

“Siasatan mendapati kereta dipandu Zulkifly di lorong kiri dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah treler.

“Akibat rempuhan itu, semua mangsa tersepit sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba. Semua mangsa yang cedera parah di kepala dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pemandu treler tidak cedera.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian