Bagan Serai : Penduduk di Kampung Padang Lalang, Gunung, Semanggol, di sini, yang terjejas banjir akibat limpahan air dari Sungai Kurau bimbang dan takut apabila melihat tiga buaya di sungai berkenaan.

Penduduk di kampung berkenaan juga berjaya merakam video berdurasi 53 saat menunjukkan kelibat buaya berkenaan berada di dalam sungai itu.

Seorang penduduk, Mazlan Md Kassim,30, berkata, buaya berkenaan mula dilihat berada di dalam sungai berkenaan sejak Disember lalu dan kali terakhir dilihat pada tiga hari lalu sebelum berlakunya banjir.

“Memang risau dari segi keselamatan kerana kami nampak ada dua hingga tiga ekor dalam sungai ini dan bimbang sekiranya air sungai ini melimpah.

“Kami juga sudah nasihatkan kanak-kanak supaya tidak bermain di tepi sungai ini kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku namun kita minta dijauhkan benda tidak diingini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Manan Ahmad,70, berkata, dia kali pertama melihat buaya berkenaan di dalam sungai itu selepas lebih 40 tahun tinggal di kampung berkenaan.

“Nampak seekor besar depan mata pada bulan lalu, yang kedua tidak besar sangat tapi panjang jugalah, dia timbul 20 minit juga dipermukaan air.

“Memang risau keselamatan kanak-kanak yang main ditepi sungai disebabkan orang tidak akan sedar buaya timbul kerana air tidak berombak,” katanya.

Abdul Manan berharap pihak berwajib mengambil langkah segera bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – MyMetro