PONTIAN: Tiga daripada empat buruh kontrak yang cedera akibat terjatuh dari bangunan dalam pembinaan di Pekan Nanas, Isnin lalu, masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata dua daripada mangsa warga Myanmar dikenali sebagai Zuhar Abdullah dan Bashir Samiullah, manakala identiti seorang lagi mangsa warga Indonesia, belum diketahui.

Daripada empat mangsa itu, katanya, hanya seorang menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala tiga lagi masih dirawat di HSA.

Beliau berkata, identiti semua mangsa dikenal pasti berdasarkan laporan dibuat pengadu yang juga kerani di tapak pembinaan.

“Pengadu sebagai kerani di tapak pembinaan mengesahkan berlaku kemalangan kecil membabitkan dua lelaki Myanmar dan dua lelaki Indonesia di tapak pembinaan di Pekan Nanas.

“Laporan dibuat pengadu bagi menyangkal apa yang disebarkan menerusi Facebook (FB) mengatakan ada mangsa terkorban dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mustafa Bakri berkata, projek itu membabitkan pembinaan 87 unit bangunan pejabat, kedai dan rumah kediaman dan sehingga kini sudah 75 peratus siap.

Katanya, jumlah pekerja seramai 50 orang membabitkan penduduk tempatan, Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

Beliau berkata, kejadian kali pertama itu dipercayai berlaku bukan disebabkan khianat tetapi berikutan kecuaian pemaju.

Pada masa sama, laporan polis dibuat pengadu untuk rujukan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Video berdurasi satu minit 21 saat dikongsikan di laman sosial mengenai kemalangan di bangunan tinggi itu, sejak Isnin lalu.

Berikutan itu, JKKP Johor mengeluarkan notis pemberhentian kerja di tapak pembinaan itu, selepas empat pekerja dilaporkan terjatuh dari bangunan di kawasan itu.

Pengarahnya, Saiful Azhar Mohd Said, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian – berita harian