Polis Perak berjaya menahan tiga lelaki dan merampas 69.4 kilogram ganja bernilai RM250,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Chempaka, Ipoh pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 31 hingga 38 tahun itu ditahan antara pukul 1 hingga 5 pagi dalam serbuan dilakukan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri.

“Dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 31 hingga 38 tahun dan merampas 70 ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang disorokkan dalam sebuah kereta yang telah diubahsuai.

“Siasatan mendapati ganja tersebut diperoleh dari negara jiran dan akan diedarkan ke sekitar negeri ini serta Lembah Klang. Ia mampu membekalkan dadah kepada seramai 140,000 penagih,” katanya dalam sidang media khas di Ipoh pada Rabu.

Tambah beliau, salah seorang suspek yang ditahan juga mempunyai rekod lampau berkaitan samun.

“Dua daripada mereka ialah penganggur dan seorang pekerja sebuah bengkel kereta.

“Kesemua direman sehingga Isnin depan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau.