LUMUT 16 Julai – Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes curi sarang burung walit di hadapan sebuah stesen minyak di Pulau Pangkor di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superitenden Chong Boo Khim berkata, suspek yang berusia 34 hingga 40 tahun ditahan pada pukul 8.30 malam di dalam sebuah kereta pacuan empat roda (4WD) setelah berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek, polis menemukan beberapa peralatan untuk pecah rumah sarang burung walit.

“Antara barang yang dirampas termasuk dua bilah parang, mesin gerudi, penyembur air, mata pemotong simen, lampu kepala, tukul kuku kambing dan kapak, empat bilah ‘scrapper’, spanar boleh laras, pembengkok besi dan sarung tangan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Boo Khim, suspek mengaku melakukan pecah rumah sarang burung walit sebanyak lima kes di Pulau Pangkor dan semua suspek mempunyai lebih daripada 10 rekod lampau jenayah berkaitan dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. – UTUSAN ONLINE