Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita tiga lagi kereta mewah milik ejen dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang disyaki hasil daripada pembabitan dengan sindiket urusan cap palsu di pintu masuk antarabangsa negara.

Menurut sumber, tiga kereta mewah itu adalah dua Toyota Vellfire dan sebuah Toyota Alphard bernilai RM750,000 susulan penahanan terbaharu timbalan pengarah dan dua anggota JIM kelmarin.

“Bagaimanapun, tiada wang tunai yang dirampas dalam penahanan terbaharu ini dan siasatan masih dijalankan.

“Pegawai kanan bergred KP48 itu dipercayai menjadi pelindung kepada sindiket terbabit namun setakat ini SPRM belum menyita aset miliknya,” katanya.

Sumber berkata, kenderaan mewah yang disita itu adalah milik anggota JIM terbabit termasuk milik ejen.

“Malah, kehidupan anggota JIM bergred KP19 dan KP22 itu lebih mewah daripada orang atasan di mana mereka gaya hidup seperti setaraf pegawai bergred KP52.

“Anggota terbabit juga tinggal di rumah teres semi-D dan menjalani kehidupan mewah hasil wang rasuah daripada sindiket terbabit,” katanya.

Sumber itu berkata, akaun bank mereka juga akan dibekukan, selain siasatan lanjut dilakukan bagi mengesan aset lain yang diterima hasil wang rasuah.

SPRM sebelum ini mendedahkan lebih 30,000 warga asing bolos dan RM14.5 juta wang sogokan diagihkan dalam kalangan kakitangan JIM sepanjang tempoh empat tahun.

Angka itu diperoleh hasil penahanan 27 anggota dan pegawai JIM yang mendedahkan aktiviti rasuah menerusi proses penyediaan kaunter khas sejak 2017.

Wang tunai RM800,000, 26 kereta mewah dan empat motosikal berkuasa tinggi turut dirampas di mana jumlah berkenaan tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya yang turut dirampas.

Secara purata, setiap tahun, sejak empat tahun lalu, RM3.6 juta dipercayai diagihkan sesama anggota dan pegawai JIM yang terbabit dengan sindiket ini.

Kemewahan kakitangan JIM yang terbabit dengan sindiket juga amat ketara berikutan mereka menggunakan wang rasuah diterima untuk membeli rumah, kereta, beg tangan berjenama, barangan kemas dan tanah.