GOPENG – Tiga lelaki cedera parah setelah lori tiga tan dinaiki merempuh belakang sebuah lori treler membawa muatan barang lusuh di KM 294.1 Lebuhraya PLUS arah utara, di sini, pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.18 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati dua orang mangsa, seorang pemandu dan seorang kelindan lori telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans.

“Manakala seorang lagi kelindan lori telah tersepit. Kesemua mangsa adalah lelaki berbangsa Melayu dan berusia lingkungan 30-an,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Menurutnya, pihak bomba telah bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan rescue tools dan pengusung.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II S. Ganesan itu tamat sepenuhnya pada pukul 8.32 pagi.