BATU GAJAH: Gara-gara tidak mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berjalan, seorang pengurus kelab golf bersama dua lelaki ditahan ketika sedang leka bermain golf di sebuah Kelab Golf, di sini pada Khamis.

Mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah ketika menjalankan tugasaan rondaan penguatkuasaan PKP di sekitar kawasan tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, dalam kejadian 11.30 pagi itu, didapati tiga lelaki sedang bermain golf di padang kelab golf tersebut.

“Pegawai Polis dan pasukan menghampiri lelaki tersebut, mereka telah menaiki buggy dan berpatah balik masuk ke kawasan padang golf.

“Pihak polis telah menahan lelaki tersebut di dalam kawasan padang golf.

“Tangkapan pertama merupakan seorang pengurus kelab golf, berumur 67 tahun, keduanya seorang pengurus pengangkutan, berumur 58 tahun dan seorang lagi guru pusat tuisyen berumur 36 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, antara barangan yang dirampas ialah tiga set beg golf pelbagai jenama milik ketiga-tiga lelaki tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dipercayai dengan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa jangkitan penyakit yang
merbahaya kepada nyawa.

“Dan di bawah Per. 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020, di mana berhimpun bagi maksud sukan dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan yang sama,” katanya lagi.