KUALA LUMPUR : Polis menahan tiga lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan samun dan bunuh di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Damansara Jaya pada Sabtu lepas.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, kejadian pada 11.50 malam itu menyebabkan seorang pekerja kedai berkenaan lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun maut akibat ditikam oleh suspek.

“Polis telah membuat siasatan dan hasilnya, pada 2.30 pagi Ahad, anggota berjaya menahan dua lelaki warga tempatan di Damansara Damai, Petaling Jaya masing-masing berumur 38 dan 32 tahun.

“Seterusnya satu lagi tangkapan susulan dibuat pada 5.15 pagi ke atas seorang lelaki juga warga tempatan berumur 30 tahun di Puchong,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki dalam beberapa kes.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza yg dilaporkan telah disamun di Kepong pada penghujung Januari 2020.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelas beliau.

Perintah reman telah dikeluarkan selama tujuh hari ke atas semua suspek mulai hari ini (Isnin). -AWANI