KUALA KANGSAR: Tiga lelaki dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas dipercayai gas ammonia di sebuah kilang ais di Taman Sri Maju, di sini pada petang Selasa.

Ketiga-tiga lelaki Melayu yang dipercayai pekerja di kilang berkenaan kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Khairil Anuar Sharuddin berkata, pihaknya menerima panggilan sektiar 1.54 petang berhubung kes berkenaan dan bergegas ke tempat kejadian.

“Pihak kami telah menghantar ketiga-tiga mangsa yang dipercayai telah terhidu gas tersebut ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan dan melaksanakan tindakan selanjutnya bagi kebocoran gas di kilang berkenaan,” katanya kepada Suara Perak.

Buat masa ini, Suara Perak masih lagi cuba mendapatkan maklumat lanjut berkenaan keadaan mangsa dan laporan berita akan menyusul.