IPOH – Lembaga pengarah sebuah badan berkanun di Perak menggantung tugas tiga pegawai kanannya berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan di agensi tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat tergempar lembaga pengarah badan berkanun itu yang dipengerusikannya malam tadi.

Katanya, penggantungan tugas ketiga-tiga individu terbabit bagi membolehkan siasatan dibuat terhadap dakwaan berkenaan.

“Mesyuarat tergempar itu diadakan bagi meneliti Laporan Audit ke atas badan berkanun itu yang mendapati terdapat elemen-elemen meragukan termasuk kemungkinan berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlanjutan sejak beberapa tahun lalu.

“Susulan itu satu laporan polis telah dibuat oleh Pasukan Khas Audit Setiausaha Kerajaan Negeri malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Ahmad Faizal berkata, satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan dibuat dalam masa terdekat – sinar harian