IPOH: Tiga anak muda Orang Asli dari Pos Tenau di Tanjung Malim terpilih bermain di dalam Team MB Perak menentang pasukan dari Hong Kong di Padang PCRC, di sini petang semalam.

2473e1a4-4c82-48c6-8ddc-372aeaaadf70Mereka ialah Sayuti Aziz A/L Kaweh, Milan A/L Komlok dan Kamal A/L Kamlok yang mewakili Tenau FC yang muncul sebagai juara Liga Bola Sepak Piala Dato Khusairi tahun ini.

Tenau FC adalah satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan Team MB dalam perlawanan persahabatan ketika Permukiman Menteri Besar di Daerah Muallim, di Slim River, bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau sendiri yang mengarahkan supaya Team MB turut disertai pemain di dalam masyarakat Orang Asli bagi menggambarkan pasukan itu benar-benar diwakili semua kaum di negeri ini.

249250d0-54a7-44ce-99d6-df82de0f71ca

“Saya juga mahu melihat potensi mereka dan tidak mustahil suatu hari nanti mereka boleh mewakili pasukan negeri Perak,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang pasukan PC Rangers dari Hong Kong di Padang PCRC, di sini petang semalam yang berkesudahan dengan seri 1 – 1.

Dr Zambry berkata, beliau berpuas hati dengan kesungguhan ketiga-tiga pemain itu yang telah menunjukkan kesungguhan dan komitmen bersama-sama rakan sepasukan.

Menurut beliau, perlawanan persahabat itu juga berjaya mencapai matlamatnya untuk melihat sukan sebagai agen perpaduan kaum di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau berpendapat Team MB merupakan sebuah pasukan yang unik kerana dibarisi pemain dari pelbagai kaum, Melayu, Cina, India dan Orang Asli, sekaligus menjadi asas perpaduan di negeri ini.

Sementara itu, ketua pasukan Team MB, Datuk Azhar Ahmad, berkata, pihaknya juga akan cuba mengintai beberapa lagi pemain berpotensi di kalangan masyarakat Orang Asli di samping dari kaum Sikh.