KOTA BHARU: Tiga anggota polis termasuk seorang yang baharu bertugas empat bulan diberkas selepas tiga jam melakukan samun terhadap enam lelaki di sebuah rumah di Cherang, di sini awal pagi ini.

Seorang Sarjan dan dua Konstabel polis berusia lewat 20-an itu ditahan bersama wang tunai sebanyak RM2,710, pistol dan gari di tepi Jalan Kota Bharu-Kuala Krai antara jam 2.30 pagi hingga 3 pagi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad, berkata dalam kejadian itu, semua suspek dikatakan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara pergi ke sebuah rumah di Cherang jam 12.05 tengah malam.

Katanya, suspek yang membawa pistol dan gari memasuki rumah itu sebelum mengarahkan enam lelaki yang berada di ruang tamu mengeluarkan dompet masing-masing sebelum merampas sejumlah wang.

“Suspek yang tidak berpuas hati mengambil kad bank daripada dua mangsa yang berusia 19 dan 41 tahun dan membawanya untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik di sebuah bank di Kota Bharu.

“Bagaimanapun hanya satu kad bank berfungsi dan suspek mengarahkan mangsa mengeluarkan wang sebanyak RM2,000.

“Mangsa kemudian dibawa pulang ke rumah sebelum mereka membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Menurutnya, hasil maklumat suspek pertama berjaya ditahan bersama kenderaan terbabit di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di sini jam 2.30 pagi.

“Selepas soal siasat awal dijalankan, suspek menghubungi dua rakannya sebelum mereka berjaya ditahan di Jalan Kota Bharu-Kualai Krai. Mereka kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

“Semua suspek yangbertugas di Kontinjen Pantai Timur direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 22 Ogos ini mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut juga masih dilakukan berhubung kes berkenaan, walaupun mereka tidak mempunyai rekod lampau.

“Kita tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota melakukan kes menyalahi undang-undang,” katanya – berita harian