PARIT, 13 JAN – Polis menahan tujuh orang penjaga tiga buah premis yang disyaki terlibat menjalankan kegiatan curi elektrik melalui sambungan secara tidak sah dan berselindung di sebalik kegiatan perlombongan mata wang krypto Bitcoin di bangunan premis perniagaan di Seri Iskandar, dekat sini, semalam.

Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 20-an.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso berkata, tangkapan dibuat dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Perak Tengah dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) antara jam 4 petang hingga 7 malam.

Menurutnya, serbuan juga berjaya merampas pelbagai barangan seperti sebuah kereta Perodua Alza, 154 unit mesin server Bitcoin, 23 unit papan pemuka Bitcoin, sejumlah gulung wayar elektrik jenis tembaga, lapan unit modem TP-Link, dua set komputer, tiga telefon bimbit, lima kotak Suis Pengagihan Kuasa Elektrik Utama (DB) dan sebuah baldi aluminium berisi pelbagai jenis kunci.

“Siasatan awal yang dijalankan dengan kerjasama pasukan TNB yang hadir mendapati ketiga-tiga premis diserbu menunjukkan kuantiti penggunaan elektrik yang terlalu tinggi dan menjurus kepada kegiatan mencurigakan yang tidak sepadan dengan kadar penggunaan suatu premis perniagaan.

“Siasatan juga mendapati terdapat rungutan dan kebimbangan orang ramai terutama peniaga-peniaga di bangunan premis akan bunyi kuat yang mengganggu operasi kedai dan ketenteraman pengguna lain dipercayai kesan aktiviti perlombongan mata wang krypto bitcoin berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Barudin berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan dan mengenalpasti rangkaian sindiket itu dalam usaha membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab yang menyebabkan ketirisan kepada ekonomi negara dan kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda akibat penggunaan elektrik yang terlalu tinggi melebihi kapasiti sepatutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh dihukum penjara boleh sehingga tujuh tahun atau dengan denda jika sabit kesalahan.

Siasatan juga dilakukan untuk kesalahan melakukan khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang mana boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua suspek direman dua hari untuk siasatan lanjut.