IPOH: Tiga projek di bawah Program Khas Perumahan Perwira Negeri Perak yang dahulunya dikenali sebagai Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Perwira, dijangka dimulakan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, tiga projek itu di Segari, Seri Iskandar dan Tapah Road akan melibatkan 1,860 unit rumah teres.

Menurut beliau, walaupun ada pihak membuat pelbagai spekulasi mengenai projek untuk bekas tentera dan polis itu, tetapi kerajaan negeri komited untuk meneruskan janji yang telah dibuat.

“Cuma disebabkan oleh beberapa perkara, ia terpaksa mengambil masa yang agak panjang untuk diselesaikan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Beliau memberitahu, projek di Segari yang dijangka dimulakan bulan depan (April), mempunyai 304 unit rumah manakala di Seri Iskandar (950 unit) dan Tapah Road (606 unit).

Menurut Zainol, selepas mengambil kira pelbagai faktor seperti kemampuan pesara, kerajaan negeri telah menetapkan rumah teres setingkat ini mesti berharga kurang daripada RM145,000 seunit.

“Harga ini jauh lebih rendah dengan harga pasaran yang mencecah antara RM200,000 dan RM25,000 seunit dengan keluasan antara 950 – 1,000 kaki, tiga bilik dan dua bilik air,” ujarnya.

Katanya, selain tiga projek itu, kerajaan negeri juga sedang mencari lokasi yang sesuai di daerah-daerah lain di seluruh negeri.

RPT Perwira telah dirancang sejak 2012 tetapi tergendala kerana beberapa isu, termasuk pertukaran pemaju dan masalah tanah dan harga yang tidak sesuai untuk pesara.

“Misalnya, projek di Segari, selepas kerja-kerja pembersihan dan meratakan tapak dibuat, ia terpaksa dipindahkan ke lokasi lain kerana di bawah tapak asal mempunyai batu granite,” jelas Zainol.