IPOH – Tiga sekeluarga diberkas selepas polis berjaya merampas dadah dengan nilai anggaran RM9,500 dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Persiaran Sungai Pari Timur 10, Taman Mas, di sini pada lewat malam semalam.

Dalam serbuan pada pukul 11.35 malam itu, seorang lelaki berusia 55 tahun di dalam rumah tersebut ditahan bersama dua wanita masing-masing berusia 57 dan 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata satu sampul surat berwarna coklat  mengandungi satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin serta satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine yang dirampas dari atas tangga dalam rumah saspek.

 

“Berat kasar heroin ialah seberat 468.47 gram manakala methamphetamine pula kira-kira 25.75 gram dengan anggaran nilai berjumlah RM9,500.

 

“Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati negatif,” katanya kepada Suara Perak.

 

Menurut  beliau, pasangan suspek lelaki tidak bekerja manakala wanita pula merupakan seorang surirumah tangga. Anak mereka merupakan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di sini.

 

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek juga tidak mempunyai rekod lampau.

 

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati,” katanya.