SUNGAI SIPUT: Polis menahan pasangan suami isteri warga emas dan anak lelaki mereka yang dipercayai menyimpan dan menjual rokok serta minuman keras pelbagai jenama yang diseludup, bernilai lebih RM50,000 dalam serbuan di sebuah pasar mini di Kampung Muhibbah, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Abd Fatah Abd Rahman berkata, pasangan berusia 64 dan 65 tahun itu serta anak lelaki mereka yang berusia 36 tahun, ditahan di sebuah premis dua tingkat pada pukul 5 petang.

Beliau berkata, polis merampas 446 karton rokok dan 140 botol minuman keras pelbagai jenama yang kesemuanya dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

Katanya, rokok seludup itu terdiri daripada sepuluh jenama rokok seperti 9th Century, Soho, U2, A380 serta Costa manakala 13 jenama minuman keras yang dirampas itu termasuk Club 99, A Class, Seven Seas, Thai Song dan Classic Goodman.

rokok-arak-seludup 2

“Kesemua rokok dan minuman keras yang dirampas itu ditemui di dalam premis berkenaan dan didapati tidak mempunyai label cukai iaitu barang yang belum diluluskan oleh Kastam (Diraja Malaysia).

“Barangan seludup itu dipercayai dijual kepada penduduk di sekitar Sungai Siput,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Abd Fatah, hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis yang dimiliki oleh pasangan warga emas itu tidak mempunyai lesen menjual minuman keras.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.