BUTTERWORTH: Tiga wanita ditahan selepas didapati berlumba haram dengan menunggang motosikal sambil melakukan pelbagai aksi berbahaya di Lebuh raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata dalam operasi selama tujuh jam yang berakhir 6 pagi tadi, tiga wanita berusia 21 hingga 32 tahun dikesan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya

“Mereka disyaki berlumba dari Plaza Tol Bagan Ajam ke arah jejambat Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sebelum berpatah balik ke plaza tol arah Sungai Dua.

“Mereka ditahan dan dibawa ke Mahkamah Butterworth untuk mendapat perintah reman,” katanya di dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, dua daripada wanita itu bekerja sebagai operator kilang manakala seorang lagi berniaga.

“Hasil ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati semua suspek negatif,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH