KUANTAN : Tiga wanita Thailand maut, manakala tiga lagi cedera akibat kemalangan di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala Timur, dekat Karak di Bentong awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Yusuf Unis berkata kemalangan pada 1 pagi itu, melibatkan dua kenderaan iaitu pacuan empat roda Toyota Hilux dan lori membawa muatan getah sekerap.

Mereka yang maut semuanya dipercayai berasal dari Narathiwat, dan setakat ini, hanya dikenali sebagai Yawiyah, 53, yang merupakan isteri pemandu Toyota Hilux, sepupunya Maskah, 49, dan rakan mereka Jantana, 43 tahun.

Manakala pemandu Toyota Hilux yang dikenali sebagai Mama, 55, dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bentong akibat parah di kaki dan tangan, memandangkan semua mangsa tersepit dalam kenderaan tersebut.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang hendak ke Kuala Krai, Kelantan telah hilang kawalan semasa menuruni selekoh berbukit di lorong kanan menyebabkanya terbabas ke kiri dan melanggar tembok.

“Lori itu kemudiannya terbalik lalu menghempap Toyota Hilux yang berada di lorong kiri sebelum menyeret kenderaan itu sejauh lebih kurang 100 meter dalam keadaan keempat-empat tayar lori ke atas,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Yusuf berkata pihaknya terpaksa meminta bantuan bomba untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit yang mana warga Thailand itu berjaya dikeluarkan selepas hampir sejam, ekoran keadaan kenderaan tersebut yang remuk keseluruhan.

Manakala, pemandu lori yang berusia 31 tahun dan kelindan berumur 52 tahun, dengan kedua-duanya berasal dari Kelantan, dapat dikeluarkan daripada kepala lori itu selepas 45 minit.

“Pemandu lori parah di seluruh badan dan dikejarkan ke ICU Hospital Kuala Lumpur manakala kelindannya dihantar ke Hospital Bentong akibat parah di kaki, tangan dan tengkuk,” katanya.

Katanya, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat hari ini, dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41() Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA