KUALA LUMPUR: Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad mengesahkan beliau positif COVID-19 selepas ujian kedua dilakukan Rabu lepas.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air itu menjelaskan ujian pertama yang dilakukan pada 23 September lalu di Kota Kinabalu ketika kempen Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah menunjukkan keputusan negatif.

“Bagaimanapun selepas keputusan kedua yang mendapati positif, saya dimasukkan ke Hospital Sg Buloh pada Khamis dan kini, Alhamdulillah saya sihat.

“Sejak ujian pertama dilakukan, tiada sebarang tanda-tanda demam dan batuk.

“Cuma sebelum masuk pejabat Isnin lalu, saya telah mengambil inisiatif sendiri untuk buat ujian swab sekali lagi dan mendapati keputusannya positif,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, ketika menunggu keputusan ujian pertama dan kedua, beliau telah menjalani kuarantin bersendirian di rumah.

“Cuma selepas keputusan kedua keluar dan positif, saya dibawa ke hospital untuk dirawat sehingga hari ini.

“Saya mengharapkan agar kita semua tidak mengambil mudah ancaman pandemik ini. Jika ada peluang untuk buat ujian kedua atau ketiga, pergilah.

“Pengalaman saya tidak mempunyai sebarang simptom dan disahkan ada jangkitan menunjukkan bahawa 1,001 kemungkinan boleh berlaku.

“Mencegah dan berwaspada adalah lebih baik,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan turut disahkan terkena jangkitan COVID-19.

Kes baharu positif COVID-19 di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak dua hari berturut-turut iaitu sebanyak 287 kes dilaporkan pada Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baharu itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti politik turut disahkan positif Covid-19 antaranya Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Muhammad Rafii.