IPOH- Semua barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan menyifatkan tindakan menyebarkan rakaman audio sebagai satu propaganda “pecah dan perintah” serta iri hari terhadap kepimpinan kerajaan PH Perak.

Menurut Exco Kanan kerajaan negeri, Asmuni Awi, isu ini sebenarnya menambahkan perpaduan dalam kalangan Exco dan ADUN PH sebagai sebuah keluarga yang berdiri teguh di belakang kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Mengenai rakaman audio yang tersebar baru-baru ini terutama khabar angin yang mengatakan ketiadaan sokongan terhadap Menteri Besar, kami menganggapnya sebagai satu propaganda “pecah dan perintah” dan iri hati kepada kerajaan PH Perak.

“Kami dengan ini menzahirkan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Menteri Besar sebagai ketua dan pemimpin PH Perak dan Menteri Besar yang mengetuai kerajaan PH Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas di bilik media Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Justeru itu katanya, semua barisan EXCO dan wakil rakyat PH berjanji kepada rakyat Perak untuk meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan bagi memastikan peningkatan taraf ekonomi dan kesejahteraan rakyat.