HULU SELANGOR: Tun Dr Mahathir Mohamad akan segera memasuki pejabat Menteri Pendidikan bagi menyelesaikan beberapa masalah dihadapi kementerian itu.

Perdana Menteri yang memangku jawatan Menteri Pendidikan menjelaskan, tindakan itu perlu dilakukan segera bagi mencari jalan penyelesaian terhadap beberapa masalah yang timbul.

“Saya kena kaji segala masalah terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Kementerian Pendidikan ada banyak masalah, saya perlu kenal pasti dahulu apa masalahnya dan cari jalan penyelesaian,” katanya pada sidang media selepas melawat Depot Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA), syarikat bertanggungjawab terhadap projek Rehabilitasi Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDTR) di Serendah, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; timbalannya, Datuk Kamarudin Jaafar serta Pengerusi DMIA, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu minggu lalu bersetuju Dr Mahathir memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari lalu. susulan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik.

Kementerian Pendidikan sebelum ini dilanda pelbagai isu antaranya, pelaksanaan tulisan Jawi, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Semenanjung Malaysia dan Program Sarapan Percuma (PSP).

Sementara itu, Dr Mahathir sedia menimbang cadangan memecahkan Kementerian Pendidikan dan mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi.

“Cadangan itu akan dipertimbangkan berdasarkan kepada cadangan anda (wartawan),” katanya.

Mengulas mengenai penularan virus influenza, Dr Mahathir menjelaskan Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan sama ada ia menjadi wabak atau sebaliknya.